Ramai isi borang kuota tambahan, 200 liter Budi95 tak cukup

7 hours ago 7

PETALING JAYA – Ada dalam kalangan pengguna kenderaan merasakan had kelayakan Budi Madani RON95 (Budi95) diselaraskan kepada 200 liter sebulan adalah tidak mencukupi, sekali gus mereka beramai-ramai mengisi Borang Permohonan Penambahan Kelayakan Budi95.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, pengguna berkongsi mereka mengisi borang berkenaan yang dipaparkan pada laman web rasmi Budi Madani RON95.

Daripada perkongsian tersebut, mereka mengisi borang permohonan itu memandangkan 200 liter tidak mencukupi untuk penggunaan sebulan berikutan jarak tempat kerja jauh dari rumah.
Ada juga berkongsi luahan apabila mereka sering bekerja di luar daerah setiap bulan menyebabkan pengggunaan RON95 melebihi 200 liter sebulan, selain ada juga tidak boleh bekerja dari rumah kerana tidak layak.

“Done apply (selesai mohon) kuota untuk penambahan kelayakan Budi Madani, 200 liter memang tak cukup wak,” kongsi pengguna Thread Farah Hanim Sharif pada satu perkongsian.

“Sama, saya pun baru mohon tadi. Dah periksa sejarah sejak Januari hingga Mac, memang guna lebih 200 liter. Itu pun dah tolak penggunaan waktu raya balik kampung,” komen pengguna Thread Liza Mihat.

“Okey selesai mohon penambahan kelayakan Budi95 sebab jarak rumah ke tempat kerja 30 kilometer (km) sehala, tapi tak layak bekerja dari rumah. Lepas itu kerap tugasan luar daerah jarak lebih 200 km sehala. Purata penggunaan RON95 setiap bulan lebih 200 liter. Semoga diluluskan,” kongsi pengguna Thread Nurrsy4a.

Menerusi Borang Permohonan Penambahan Kelayakan yang boleh didapati pada laman web rasmi Budi Madani RON95, pengguna perlu mengisi nama, nombor kad pengenalan, e-mel, nombor telefon bimbit dan alamat serta mengisi nombor cukai pendapatan, nama bank dan nombor akaun bank mereka.

Terdapat ruangan ‘kategori penggunaan’ serta ‘alasan permohonan’ perlu diisi oleh pemohon dengan menyatakan huraian atau penjelasan sebagai sokongan kepada permohonan mereka.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, kerajaan memutuskan penyelarasan had kelayakan inisiatif Budi95 kepada 200 liter berbanding 300 liter sebulan bermula 1 April sebagai langkah awal dan bersasar susulan konflik di Asia Barat.

Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi selain badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tujuan pelaksanaan dasar itu bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |