Dakwaan tambah had subsidi Budi95 tidak benar

5 hours ago 6

PETALING JAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan dakwaan kononnya terdapat permohonan umum untuk menambah had subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) adalah tidak benar dan tidak berasas.

MOF dalam satu kenyataan memaklumkan, fungsi permohonan tambahan yang pernah diwujudkan pada awal pelaksanaan Budi95 bukan bertujuan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya hanya melibatkan kes tertentu yang mempunyai keperluan operasi jelas serta disahkan.

“Fungsi ini bukan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi, tetapi bagi kes tertentu seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan,” katanya, hari ini.

Tambah MOF, fungsi berkenaan telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas, menyebabkan butang permohonan tersebut kini telah dinyahfungsikan.

Menurutnya, kerajaan mengekalkan had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta menjamin kestabilan bekalan.

“Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah,” jelasnya.

MOF berkata, data menunjukkan had 200 liter mencukupi untuk kira-kira 90 peratus pengguna Budi95. Dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh memperoleh RON95 sehingga RM398 sebulan.

“Kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan ada dalam kalangan pengguna kenderaan merasakan had kelayakan Budi95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan adalah tidak mencukupi, sekali gus mereka beramai-ramai mengisi Borang Permohonan Penambahan Kelayakan Budi95.

Tinjauan di media sosial mendapati, pengguna berkongsi mereka mengisi borang berkenaan yang dipaparkan pada laman web rasmi Budi Madani RON95.

Terdahulu, kerajaan memutuskan penyelarasan had kelayakan inisiatif Budi95 kepada 200 liter berbanding 300 liter sebulan bermula 1 April sebagai langkah awal dan bersasar susulan konflik di Asia Barat.

Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi selain badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tujuan pelaksanaan dasar itu bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga. – KOSMO! ONLINE- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |