Pemandu lalok didakwa bunuh tiga sekeluarga

3 hours ago 5

SEGAMAT – Pemandu treler lalok dadah yang menyebabkan nyawa tiga sekeluarga terkorban dalam kemalangan di di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru – Seremban di sini, Khamis lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Johar.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membunuh S Palamiandy, 77; K Myakrishnan; 72, dan S Sevendai, 62.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh baru memandangkan belum menerima laporan bedah siasat, laporan perubatan, laporan Puspakom, laporan forensik dan laporan patalogi.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan kes disebut semula pada 21 Mei ini.

Terdahulu, Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Majistret Amalina Johar membenarkan reman ke atas suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine selama empat hari bermula 3 April hingga hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang Khamis lalu, pasangan suami isteri, K. Myakrishnan, 71, dan S. Sevendai, 65, serta abang kepada Sevendai, S. Palamiandy, 77, maut selepas van dinaiki lima sekeluarga dirempuh dua buah lori.
Ketika kejadian, van dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Golden Hill, Gemas Baru selepas berkunjung ke rumah salah seorang saudara mereka di Batu Anam di sini.

Dua lagi mangsa, P. Sugunya dan P. Hariharam mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |