SEPANG- Malaysia akan menghantar sebanyak 30 kontena mengandungi sejumlah 374 tan barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam usaha menentang kepungan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu akan diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang bertindak mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, Amiruddin turut akan mengetuai delegasi Malaysia dalam pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang dijangka berlepas dari Barcelona pada Ahad ini.
Amiruddin berkata, bantuan berupa pelbagai barangan keperluan harian termasuk ubat-ubatan itu dijangka memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Palestin jika misi berjaya.
“Sebab itu misi ini datang dengan pelbagai tujuan. Ada datang dengan bantuan kecemasan yang akan kita bawa lebih 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, syarikat, negeri dan kerajaan untuk ringankan beban.
“Anggaran kita hanya 100,000 orang yang akan terkesan kalau kita berjaya melunaskan misi kali ini.
“Dan ia sudah pasti akan membuka pintu lebih luas kepada kehadiran bantuan-bantuan sokongan yang selama ini ataupun dalam tempoh beberapa tahun tersekat dan diganggu oleh Zionis,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza di sini tadi.
Amiruddin berkata, misi kemanusiaan itu juga akan membawa satu suara mewakili masyarakat dunia bagi menggesa secara tegas kepada pembebasan Palestin.
“Ini ialah mesej kemanusiaan dan kami berusaha untuk membawa mesej itu mewakili dunia dan masyarakat yang prihatin untuk sama-sama melihat pembebasan Palestin.
“Insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin.
“Seperti misi tahun lalu, kita yakin akan berdepan dengan cabaran-cabaran tertentu dan kepada Allah kita letakkan harapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
5

















































