KLANG – Kegiatan kilang haram memproses sisa elektronik atau e-waste di seluruh negara terbongkar selepas digempur secara besar-besaran hari ini.
Operasi dikenali sebagai Op Hazard 3.0 bermula pukul 7 pagi dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 110 premis dengan 87 daripadanya menjalankan aktiviti berkaitan e-waste termasuk 14 kilang haram yang membawa sitaan berjumlah RM55.2 juta.
Operasi khas tersebut melibatkan 1,611 anggota dan pegawai dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan briged berkaitan.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, pelaksanaan Op Hazard 3.0 termasuk di Sabah dan Sarawak berkenaan bagi menangani pencemaran alam sekitar dan kemasukan e-waste secara haram ke negara ini.
“Setakat ini, seramai 729 individu terdiri daripada 154 warga tempatan dan 575 warga asing turut diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 205 daripada mereka ditahan bagi tindakan lanjut termasuk 100 warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah,” katanya ketika ditemui pada operasi di sebuah kilang di Kapar di sini, lewat petang tadi.
Menurut Mohamad Suzrin, operasi turut membawa kepada rampasan sebanyak 316,278.5 kilogram (kg) e-waste dan 388,230kg barangan lusuh.
Ujarnya, sebanyak 9,350 kg barangan lain turut dirampas yant dianggarkan RM55,228,165.25
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengeluarkan 342 kompaun dengan nilai keseluruhan RM82,450 terhadap premis yang melanggar peraturan,” ujarnya.
Jelasnya, siasatan awal mendapati produk akhir hasil pemprosesan e-waste dipercayai akan dihantar ke negara ketiga termasuk China bagi tujuan kitar semula.
“Bahan itu mengandungi elemen bernilai seperti aluminium, timah, tembaga serta emas yang diekstrak daripada komponen elektronik. Satu sidang media lanjut akan diadakan oleh Ketua Polis Negara pada Jumaat ini bagi memperincikan keseluruhan hasil operasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4

















































