PETALING JAYA – Tindakan seorang pelanggan yang didakwa mempersoalkan kemahiran fotografi staf di restoran Rembayung mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh @Azrie.sobri di laman Threads mendakwa pelanggan berkenaan tidak berpuas hati dengan gambar yang diambil oleh staf ketika berada di restoran terbabit.
“Kau pergi situ bayar makanan je tau, bukan termasuk sekali pakej fotografi. Staf tolong ambil gambar pun dah cukup bagus. Nak kena fikir pasal skil fotografi pula,” katanya.
Hantaran itu turut memaparkan tangkap layar kenyataan dipercayai daripada individu lain yang mengkritik cara gambar diambil oleh staf, termasuk menasihati supaya tidak ‘spam’ butang kamera.
Isu berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian pemilik restoran Rembayung sendiri, Khairul Aming yang tampil memberikan penjelasan.
Menurutnya, staf sememangnya diarahkan untuk mengambil banyak gambar bagi memberi pilihan kepada pelanggan.
“Saya yang suruh staf tangkap banyak-banyak supaya pelanggan boleh pilih gambar mana. Ada 800 pelanggan sehari, memang tak sempat nak ambil gambar satu per satu secara perlahan,” jelasnya.
Menjegah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan staf dan berpendapat pelanggan tidak seharusnya meletakkan harapan tinggi terhadap servis percuma tersebut.
Menurut seorang netizen, isu mengambil gambar tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga membebankan staf.
“Tangkap gambar pun boleh jadi isu, sampai tahap mungkin lepas ini restoran boleh kenakan caj siap-siap, contohnya RM10 untuk satu gambar,” ujar @Edu_manja.
Seorang pengguna lain, @Arifshafiq berkata mengambil gambar bukan sebahagian daripada skop tugas staf di restoren, namun mereka tetap membantu atas dasar ihsan.
“Sepatutnya kena berterima kasih, ini siap pertikai pula. Staf dah tolong pun kira baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4

















































