Kerajaan garis 3 langkah utama perkukuh ekonomi Bumiputera

13 hours ago 7

PETALING JAYA – Kerajaan menggariskan tiga langkah utama dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera bagi mendepani ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.

Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, selain tekanan langsung kepada ekonomi global, Malaysia tidak terkecuali dengan ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik yang terus menekan inflasi.
Lebih membimbangkan, katanya, usahawan Bumiputera kini berdepan peningkatan kos operasi serta cabaran aliran tunai yang semakin ketara.

Menurutnya, langkah itu antara lain meliputi penilaian segera dan semua agensi mandat Bumiputera perlu menilai impak merentasi sektor kritikal seperti makanan dan agro, pembinaan serta logistik.

“Selain itu, intervensi bersasar dan berimpak tinggi akan memperkukuh sokongan melalui pembiayaan fleksibel, insentif kos, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penggunaan sumber domestik bagi mengurangkan kebergantungan luar.

“Pelaksanaan tegas dan berakauntabiliti tiada ruang untuk kelewatan dan semua langkah mesti dilaksanakan serta-merta dengan pemantauan rapi dan pelaporan berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, setiap agensi bertanggungjawab memastikan intervensi ini sampai ke peringkat pelaksanaan dan memberi kesan besar kepada usahawan Bumiputera.

Dalam masa yang sama, katanya, negara perlu melangkah lebih jauh daripada tindak balas jangka pendek, manakala fokus jangka sederhana dan panjang akan dipacu melalui pendigitalan, pengukuhan keusahawanan generasi muda, perluasan akses pembiayaan serta penerokaan pasaran baharu.

“Saya juga menegaskan keperluan penyelarasan yang lebih berkesan antara kementerian, agensi, GLIC dan GLC supaya setiap inisiatif benar-benar memberi impak dan tidak bertindan.

“Cabaran ini bukan sekadar krisis yang perlu ditangani, tetapi satu titik perubahan yang menuntut kita berani melakukan penstrukturan semula.

“Inilah peluang untuk membina ekonomi Bumiputera yang lebih mandiri, lebih kukuh, dan lebih kompetitif dalam menghadapi masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan mahupun institusi, industri dan pemain ekonomi untuk bergerak sebagai satu pasukan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |