PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus menjiwai semangat Ramadan, khususnya dalam membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.
Dalam perutusan sempena Aidilfitri sebentar tadi, beliau berkata, madrasah Ramadan yang telah dilalui sepanjang bulan puasa perlu menjadi asas untuk membina keperibadian, akhlak dan adab yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, nilai tarbiah Ramadan tidak seharusnya terhenti selepas berakhirnya bulan mulia itu, sebaliknya perlu terus diserap ke dalam sanubari dan diamalkan secara berterusan.
“Semangat dan nilai yang dipugar dari tarbiyah Ramadan harus disegarkan untuk menjana kekuatan dalaman umat yang merupakan prasyarat penting untuk negara kita tercinta, Malaysia, bergerak lebih pantas dan yakin ke hadapan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian, justeru tradisi saling bermaafan, ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim dan rumah terbuka ketika Aidilfitri perlu terus dipelihara sebagai amalan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.
Namun, dalam masa sama beliau mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perkembangan geopolitik yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, konflik dan peperangan yang berlaku di Asia Barat berpotensi memberi tempias kepada Malaysia, termasuk dari sudut harga minyak, harga barang, kos sara hidup serta tekanan kepada ekonomi rakyat.
“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya meringankan rakyat daripada beban yang bakal menimpa, namun kita juga bertanggungjawab untuk kembali menjiwai roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat miskin,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar mengelakkan pembaziran dalam berbelanja menjelang perayaan, selaras dengan tuntutan agama supaya lebih peka terhadap keperluan keluarga, kerabat, golongan miskin dan musafir.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat perlu terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian negara menerusi kesatuan fikiran dan tindakan, terutama ketika berdepan pelbagai cabaran semasa.
“Saya percaya dengan persiapan dan perancangan yang baik, negara kita boleh kekal optimis dengan kedudukan ekonomi yang telah kita capai sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Madani akan terus berusaha mempertahan dan memperkukuh kedudukan negara walaupun berdepan cabaran yang semakin mencabar.
Pada akhir perutusan, Anwar menyeru rakyat untuk bersama-sama merealisasikan agenda Malaysia Madani demi mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan, mempertahankan prinsip hidup yang benar serta meratakan kemakmuran.
“Aidilfitri Mubarak, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin,” katanya.- KOSMO! ONLINE

7 hours ago
9















































