PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan membuktikan dia memiliki semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekecewaan untuk mengutip mata berharga pada saingan Pusingan 2 Moto4 European Cup 2026 di Litar Estoril, Portugal kelmarin.
Meskipun terjatuh pada Perlumbaan 1, anak jati Terengganu berusia 14 tahun itu mempamerkan tunggangan cukup matang untuk menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keempat terbaik.
Bermula dari petak ke-10, pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu tenang memintas satu demi satu pencabar sebelum kekal konsisten dalam kelompok depan bagi mengutip 13 mata berharga.
Terdahulu pada Perlumbaan 1, Qabil hampir menceriakan kem negara apabila melonjak dari petak kesembilan ke kedudukan kedua, namun impian untuk menjelmakan podium sulung pentas Moto4 itu lebur akibat kemalangan di Selekoh 9 ketika saingan berbaki tiga pusingan.
“Saya cuba memintas pelumba di hadapan saya, tetapi tayar mula hilangan cengkaman. Saya cuba meneruskan perlumbaan semula, tetapi enjin sudah mati.
“Pada Perlumbaan 2, saya bermula dengan baik dan mengikut strategi yang dirancang iaitu menyerang dari belakang. Namun, ada dua pelumba terjatuh di hadapan saya dan menyebabkan saya terputus dengan pendahulu perlumbaan.
“Saya cuba mendapatkan semula rentak dan kekal konsisten, tetapi rezeki saya belum ada untuk berada di podium,” kata Qabil.
Keputusan di Estoril menyaksikan Qabil kini menghuni tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 26 mata, hanya dipisahkan empat mata di belakang pelumba Itali, Cristian Borrelli yang berada di kelompok lima terbaik.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin meluahkan rasa bangga terhadap keupayaan Qabil apabila bangkit dari kekecewaan selepas terjatuh pada Perlumbaan 1.
“Qabil menunjukkan kemampuan luar biasa untuk bersaing di kelompok podium. Perlumbaan seperti Moto4 European Cup cukup sengit dan Qabil mempunyai kemampuan memberi tentangan cukup baik bersama pelumba Eropah,” jelasnya.
Fokus Qabil kini beralih ke Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol pada awal Julai depan dengan misi kembali memburu kedudukan podium serta memperbaiki kedudukan dalam carta pelumba.

14 hours ago
8














































