PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerusi pelaksanaan Bantuan Lestari Siswa Madani.
PTPTN dalam kenyataan berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan, khususnya dalam kalangan peminjam yang berdepan cabaran kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, seramai 72 pelajar asnaf dari Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson menerima manfaat apabila sejumlah RM36,000 disalurkan melalui bantuan berkenaan.
“Setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM500 secara ‘one-off’ yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing bagi membantu keperluan harian mereka,” jelas kenyataan itu.
Penyampaian bantuan telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim sempena Majlis Iftar PTPTN bersama media, yang turut dihadiri pengurusan tertinggi agensi berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Norliza berkata, sepanjang bulan Ramadan, PTPTN giat menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN), Jom Kejut Sahur serta Raikan Syawal bersama anak yatim dan asnaf.
“Sebagai agensi yang prihatin, PTPTN komited untuk terus memperluaskan pelaksanaan program CSR kepada pelajar terutama dalam aspek pendidikan dan kebajikan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan media yang disifatkan banyak membantu menyampaikan maklumat tepat serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan pembayaran balik pinjaman dan perancangan kewangan melalui Simpan SSPN.
PTPTN juga akan terus menggalakkan amalan menabung menerusi Simpan SSPN sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman, sekali gus memastikan pelajar tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian.- KOSMO! ONLINE

16 hours ago
10
















































