MUNGKIN tidak ramai meletakkan harapan kepada pasukan kerdil pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat bermula 16 Jun hingga 14 Julai depan.
Bagaimanapun, pasukan dari Jepun, Urawa Red Diamonds yang memiliki reputasi cukup besar di pentas Asia enggan menjadikan status pasukan underdog sebagai penghalang untuk mereka memberikan cabaran.
Diundi dalam Kumpulan E bersama finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini, Inter Milan serta gergasi Amerika Selatan, River Plate dan wakil tuan rumah, Seattle Sounders langsung tidak menggentarkan Urawa Red.
Sebaliknya, penjaga gol veteran pasukan itu, Shusaku Nishikawa berkata, dia sentiasa menonton perlawanan melibatkan pasukan-pasukan Eropah dan berharap untuk merasai sendiri pengalaman tersebut.
“Apabila menonton perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan luar negara, saya sering mengikuti perkembangan pasukan-pasukan seperti Real Madrid. Itu antara pasukan yang menjadi pilihan untuk ditentang.
“Saya juga sentiasa menonton perlawanan Manchester City dan tertarik dengan gaya permainan penjaga golnya, Ederson (Moraes). Sudah tentu saya memasang impian untuk bertemu dengan mereka,” katanya.
Walaupun dijangka menjadi pasukan belasahan dalam kumpulan itu, namun tiga pasukan pencabar yang lain tidak boleh memandang rendah kemampuan Urawa Red kerana apa sahaja boleh berlaku dalam kejohanan tersebut.
Sementara itu, Nishikawa yang akan menjangkau usia 39 tahun pada 18 Jun ini mengakui agak terkilan apabila menganggap dia sudah tidak relevan lagi untuk meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.
“Kebiasaannya usia 38 tahun sering dianggap sebagai veteran dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan persaraan. Bagi saya, ia satu perkara yang cukup mengecewakan kerana saya tidak gemar dinilai berdasarkan umur.
“Memandangkan banyak pihak mempertikaikan mengenai kemampuan saya untuk beraksi di pentas tertinggi, saya sedia buktikan kepada mereka bahawa usia hanya angka semata-mata,” ujarnya.
INFO
KUMPULAN E
URAWA RED DIAMONDS (JEPUN)
Nama gelaran: Red Devils
Jurulatih: Maciej Skorza
Kapten: Takahiro Sekine
Pemain tumpuan: Shoya Nakajima