PASUKAN berpengaruh dari Brazil, Palmeiras berpotensi untuk melakar kejutan dalam kempen Piala Dunia Kelab 2025 selepas diundi dalam Kumpulan A pada kejohanan yang akan bermula 15 Jun ini.
Skuad Alviverde itu mendapat slot automatik selaku juara Copa Libertadores pada edisi 2021 dan menjadi salah satu daripada empat kelab Brazil pada kempen kali ini.
Tidak keterlaluan apabila menyatakan Palmeiras antara kelab paling berjaya di Brazil sejak sedekad yang lepas apabila bergelar juara Copa Libertadores dua kali berturut-turut pada 2020 dan 2021 selain bergelar finalis mendominasi Liga Brazil edisi 2016, 2018 serta 2022.
Ketua jurulatih Palmeiras, Abel Ferreira dilihat sudah melakukan persiapan rapi sejak bulan lalu bagi memastikan barisan pemain bersedia dari segi mental dan fizikal dalam usaha meloloskan diri sekurang-kurangnya ke peringkat kalah mati.
“Kami sedar persaingan Piala Dunia Kelab sangat sengit kerana akan menentang kelab-kelab terbaik dunia.
“Saya perlu pastikan barisan pemain fokus sebelum kejohanan kerana kami meletakkan sasaran yang agak tinggi pada kempen kali ini,” katanya.
Atas kertas, Palmeiras memiliki ramai pemain berkualiti yang pernah menggegarkan benua Eropah dengan tumpuan utama seperti bekas bintang Lazio, Felipe Anderson, Vitor Roque (Barcelona) dan Paulinho (Bayer Leverkusen).
Selain itu, mereka juga mempunyai beberapa pemain tempatan yang hebat termasuk penjaga gol skuad kebangsaan Brazil, Weverton, Bruno Fuchs, Bruno Rodrigues dan Lucas Evangelista.
Palmeiras diundi dalam Kumpulan A bersama FC Porto (Portugal), Al Ahly (Mesir) dan Inter Miami (Amerika Syarikat).
INFO
KUMPULAN A
PALMEIRAS (BRAZIL)
Nama gelaran: Alviverde, Verdao
Jurulatih: Abel Ferreira
Kapten: Gustavo Gomez
Tiket kelayakan: Juara Copa Libertadores 2021