GERGASI Korea Selatan, Ulsan HD tampil dengan impian besar apabila sudah bersiap sedia menggegar pentas Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat minggu depan.
Selepas menjulang kejuaraan K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut, Ulsan muncul antara empat wakil Asia yang akan mencabar kuasa bola sepak dunia bersama Urawa Red Diamonds (Jepun), Al Hilal (Arab Saudi) dan Al Ain FC (Emiriyah Arab Bersatu).
Namun, cabaran hebat menanti skuad kendalian bekas jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon apabila diundi dalam Kumpulan F bersama kelab-kelab hebat seperti Borussia Dortmund dari Jerman, Fluminense (Brazil) dan Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan).
“Sebagai pasukan yang mewakili Korea dan Asia, kami berdepan tekanan besar untuk beraksi cemerlang menentang kelab dari benua lain.
“Saya percaya mara ke pusingan 16 terbaik adalah sangat penting dan perlawanan pertama menentang Sundowns menjadi penentu. Selepas itu, kami perlu merapatkan jurang dan kumpul mata menentang Fluminense dan Dortmund.”
“Jadi lawan pertama dengan Sundowns sangat penting dan kami wajib menang untuk dapatkan rentak,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Pan-gon dilantik menggantikan Hong Myungbo pada Julai tahun lalu membuktikan sentuhannya menjadi apabila membawa Ulsan menjulang liga walaupun hanya sempat kendalikan pasukan separuh musim.
Malah, beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi bekas pemain pertama yang kembali membimbing kelab itu sebagai ketua jurulatih.
Di benua Asia, Ulsan pernah menjuarai Liga Juara-Juara pada 2012 dan 2020 selain aksi konsisten dari 2021 hingga 2023 membolehkan mereka layak ke kejohanan kali ini menerusi laluan ranking.
“Dengan 32 pasukan bertanding, seluruh dunia akan beri tumpuan. Tapi kami ada kelebihan terutama bola sepak Asia yang laju dan teknikal.
“Memang pasukan Asia selalu berdepan kesukaran dalam kejohanan antarabangsa, tapi kami akan cuba manfaatkan kekuatan itu untuk beri tentangan,” tambahnya.
INFO
KUMPULAN F
ULSAN HD (KOREA SELATAN)
Nama Gelaran: Tigers
Jurulatih: Kim Pan-gon
Kapten: Kim Young-gwon
Tiket Kelayakan: Layak menerusi laluan ranking AFC