Piala Dunia Kelab: Inter mahu lupakan episod ngeri

1 day ago 9

FINALIS Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini, Inter Milan memiliki misi cukup besar menjelang saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) bermula 16 Jun hingga 13 Julai depan.

Meskipun kehilangan jurulatih, Simone Inzaghi yang memilih untuk mengubah angin ke Liga Pro Arab Saudi (SPL) dengan menyertai Al-Hilal, namun skuad Nerazzurri langsung tidak patah semangat.

Sebaliknya, mereka sedia untuk memberikan segala-galanya bagi menghadiahkan gelaran CWC kepada pengendali baharu, Cristian Chivu yang dilantik menggantikan Inzaghi dengan kontrak selama dua tahun.

Pemain tengah Inter, Nicolo Barella berkata, mereka memiliki barisan pemain yang mampu untuk memenangi trofi tersebut dan dia juga teruja untuk beraksi buat kali pertama pada kejohanan itu.

“Ia pastinya akan menjadi sesuatu yang menakjubkan dan satu pengalaman baharu buat saya. Saya tidak pernah beraksi dalam kejohanan yang memiliki reputasi besar seperti CWC dan ia membuatkan saya lebih teruja.

“Inter memiliki DNA kemenangan serta tabiat untuk menjulang trofi. Dalam mana-mana pertandingan yang kami sertai, kami sentiasa turun dengan misi menghadiahkan kejuaraan kepada penyokong,” katanya.

Kekecewaan dibelasah pada perlawanan akhir UCL kepada Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini pastinya menjadi salah satu pembakar motivasi buat Inter bagi menjadi juara sulung CWC yang menggunakan format 32 pasukan.

Sementara itu, Barella turut menjelaskan, dia dan rakan sepasukan menagih pengalaman serta kemampuan kapten, Lautaro Martinez bagi membimbing pasukan serta menjaringkan gol sepanjang kejohanan.

“Lautaro (Martinez) adalah kapten dan ketua kami, dia tahu makna kemenangan dan sentiasa membimbing kami bagi mendapatkannya. Bagi saya, dia merupakan contoh terbaik buat pasukan serta pemain-pemain muda.

“Dia memiliki banyak pengalaman di pentas antarabangsa selain merupakan pemenang Piala Dunia. Sebagai satu pasukan, kami tidak sabar untuk beraksi menentang pasukan-pasukan dari seluruh dunia,” ujarnya.

INFO

KUMPULAN E

INTER MILAN

Negara: Itali (Serie A)

Nama gelaran: Nerazzurri

Jurulatih: Cristian Chivu

Kapten: Lautaro Martinez

Pemain tumpuan: Nicolo Barella

Read Entire Article
Pertanian | | | |