PETALING JAYA – Kerajaan komited memastikan Peta Bahaya Seismik terbitan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dikemas kini secara berterusan agar dapat dijadikan panduan utama dalam merancang pembangunan negara yang selamat dan berdaya tahan.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Peta Bahaya Seismik yang diterbitkan oleh JMG pada tahun 2017 telah digunakan sebagai input bagi piawaian rekabentuk bangunan tersebut.
“Dari sudut teknikal, peta yang telah berusia lebih tujuh tahun wajar dikaji semula bagi memastikan standard kejuruteraan dan piawaian pembangunan sentiasa sejajar dengan maklumat risiko terkini.
“Sehubungan itu, pengemaskinian peta bahaya seismik Malaysia ini dijalankan secara berterusan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Standard (JSM) dan pihak akademia (universiti penyelidikan),” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PAS-Kuala Krau) mengenai tindakan kementerian sebagai persediaan menghadapi gempa bumi yang semakin kerap termasuk aspek kesiapsiagaan dan keperluan piawaian bangunan baharu serta langkah-langkah yang dilakukan.
Tambah Johari, pemakaian Peta Bahaya Seismik juga digunakan oleh JMG dalam memberikan ulasan pembangunan cadangan pemajuan yang melibatkan kawasan sesar aktif yang terdedah kepada risiko bahaya seismik diakibatkan oleh gempa bumi.
“Pada masa yang sama, JSM telah membangunkan Malaysian Standard (MS) berkaitan reka bentuk bangunan bagi tahan gempa bumi iaitu MS EN 1998-1:2015 dengan menggunapakai (adoption) standard Eropah iaitu Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance – Part 1: General rules, seismic action and rules for buildings serta Malaysia National Annex to Eurocode 8.
“Standard ini menyediakan garis panduan terperinci reka bentuk struktur bangunan
yang tahan terhadap gegaran gempa bumi. Dokumen MS EN 1998-1 telah dirujuk dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 (pindaan 2021). Walau bagaimanapun, penguatkuasaannya adalah tertakluk kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Johari berkata, bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gempa bumi, kementerian melalui MetMalaysia dan JMG akan memperkukuh sistem pemantauan aktiviti gempa bumi menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1 (RMK-13RP1).
Katanya, MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 yang membabitkan pengukuhan 12 buah stesen seismik di seluruh negara, pembinaan dua stesen seismik baharu di Segamat dan Muar, Johor serta naik taraf empat stesen seismik di Johor.
“MetMalaysia juga sedang melaksanakan peningkata keupayaan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP, dengan penekanan kepada modul pengesanan gempa bumi tempatan supaya kejadian gempa bumi berskala kecil dapat dikesan dengan lebih cepat dan tepat.
“JMG turut menjalankan pemantauan ke atas 53 Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) yang dibina di kawasan zon sesar di seluruh negara dan menjadi rujukan penting dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik.
“Selain MetMalaysia dan JMG, agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), JKR, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut terbabit.
“Mereka mempunyai peranan dalam kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan di mana latihan simulasi serta program kesedaran awam juga dijalankan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

1 day ago
6











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































