Perut tak pandai kira kurma

20 hours ago 8

PETALING JAYA – Amalan memakan kurma dalam bilangan ganjil ketika berbuka puasa tidak salah dari sudut agama, namun tanggapan bahawa jumlah genap akan ‘bertukar menjadi gula’ dalam darah disifatkan sebagai mitos tidak berasaskan sains.

Public Health Malaysia (PHM) berkata, sistem pencernaan manusia tidak mempunyai mekanisme untuk ‘mengira’ bilangan makanan sama ada ganjil atau genap.

“Perut dan usus anda tak pandai mengira nombor. Sistem pencernaan kita tak ada suis ajaib yang akan berbunyi, ‘Eh dia makan dua bijilah, jom kita tukar jadi lemak jahat!’. Tubuh badan kita hanya kenal komposisi kimia dan isi padu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

PHM menjelaskan, sebiji kurma secara purata mengandungi kira-kira lima hingga lapan gram gula semula jadi.

“Kalau anda makan dua biji (genap), badan akan serap 16 gram gula. Kalau anda makan tiga biji (ganjil), badan terpaksa proses 24 gram gula.

“Secara logik sains, makan tiga biji kurma tetap akan memberikan kesan kenaikan gula darah yang lebih tinggi berbanding makan dua biji.

“Makin banyak anda suap, makin tinggilah kandungan karbohidrat yang masuk, tak kisahlah nombor tu ganjil atau genap,” ujarnya.

Bagaimanapun, PHM menegaskan amalan memakan kurma dalam bilangan ganjil seperti satu, tiga atau tujuh biji merupakan sunnah yang baik diamalkan oleh umat Islam dengan niat memperoleh pahala dan keberkatan.

“Langsung tak salah. Bagi umat Islam, memakan kurma dalam bilangan ganjil (seperti satu, tiga, atau tujuh) adalah amalan sunnah yang sangat bagus untuk niat mendapat pahala. Ia adalah saranan berbentuk kerohanian dan keberkatan,” katanya.

Dalam masa sama, PHM turut menasihatkan pesakit kencing manis supaya lebih peka terhadap saiz hidangan, terutama jika mengambil kurma bersaiz besar seperti jenis Medjool.

“Bagi pesakit kencing manis, tolong perhatikan saiz porsi anda. Makan sebiji pun dah sangat memadai. Jangan paksa diri telan tiga biji semata-mata nak kejar nombor ganjil, lepas tu bacaan gula mencanak naik,” jelasnya.

Sehubungan itu, PHM menyeru orang ramai supaya mengamalkan sunnah dengan ilmu yang betul dan tidak terpengaruh dengan mitos yang boleh menjejaskan kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |