Pernah buat silap, Zynakal bimbang kes amang seksual artis

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Kecoh isu artis lelaki ditahan polis selepas didakwa mencabul gadis bawah umur, penyanyi Zynakal mengakui risau andai ujian seumpama itu menimpa dirinya.

Ujar Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 27, sebagai manusia biasa, dirinya juga tidak sempurna dan pernah tersasar dalam hidup.

“Mendengarkan banyak kes melibatkan artis yang umur lebih kurang saya, semua itu membuatkan saya bimbang, sebab saya sedar diri ini pun bukannya sempurna. Saya juga pernah buat silap dalam hidup.

“Tapi kalau benda macam itu jadi pada saya, mungkin ketika itu Tuhan nak buka mata saya tentang siapa diri saya yang sebenar.

“Sebab manusia ni memang tak terlepas daripada salah dan silap,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tanpa berselindung, pelantun lagu Sakit itu turut mengaku pernah berada dalam fasa ‘lupa diri’ ketika popularitinya berada di kemuncak.

Pun begitu, dia bersyukur kerana segera disedarkan sebelum hanyut lebih jauh.

“Saya sendiri pernah melalui fasa terlena dengan apa yang saya capai.

“Waktu itu, saya rasa macam hidup dah cukup sempurna. Tapi saya cepat tersedar dan cari jalan untuk perbetulkan keadaan.

“Bukanlah bermaksud saya dah cukup matang, tapi mungkin sebab usia makin bertambah, saya mula belajar kawal pergaulan dan lebih menjaga diri dalam hubungan dengan orang lain,” ujarnya pada majlis sidang media Konsert Hype Republic, di sini, semalam.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kes seorang penyanyi dan pelakon terkenal yang ditahan selepas didakwa mencabul seorang gadis berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Difahamkan, remaja tersebut mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Dalam perkembangan lain, Zynakal bakal membuat persembahan dalam Konsert Hype Republic di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 Disember depan.

Antara artis yang turut memeriahkan pentas termasuk Kmy Kmo, Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Bunga Isme, Zubir Khan, KOI dan seorang penyanyi kejutan yang masih belum diumumkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |