PUTRAJAYA – Peluang memiliki rumah pertama kini lebih terbuka kepada pekerja gig dan kakitangan kontrak kerajaan selepas Bank Simpanan Nasional (BSN) memperluas pemilikan rumah secara lebih inklusif menerusi kerjasama dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Dalam konteks ini, BSN menawarkan pembiayaan perumahan melalui MyFirstHome-i dan BSN MyHome-i SJKP Madani secara lebih fleksibel selain dilengkapi proses dokumentasi mudah serta kaedah pengesahan pendapatan alternatif tanpa slip gaji tetap.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen BSN memperkukuh peluang pemilikan rumah kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mempunyai sumber pendapatan tetapi berdepan kekangan dokumentasi.
“Ramai pekerja gig sebenarnya mempunyai pendapatan yang stabil, namun sering berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana keperluan dokumentasi tertentu.
“Melalui SJKP, BSN membuka ruang kepada lebih ramai dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sebagai permulaan bagi segmen pekerja gig, BSN menjalinkan kerjasama dengan Foodpanda Malaysia bagi memudahkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan alternatif seperti surat pengesahan pekerjaan dan rekod pembayaran.
“Manakala, bagi kakitangan kontrak kerajaan pula, BSN telah diperuntukkan dana sebanyak RM500 juta melalui Belanjawan 2026 bagi menyokong pembiayaan rumah pertama mereka selain memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik bersama PR1MA.
“Seiring dengan inisiatif tersebut, BSN turut melancarkan kempen ‘Rumah untuk Semua’ bermula 1 Februari hingga 30 Jun dengan menawarkan 30 hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada pelanggan yang mengambil pembiayaan minimum RM100,000,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah telah menyaksikan pelaksanaan inisiatif itu, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat merealisasikan impian memiliki rumah pertama.
Dalam majlis sama, Amir Hamzah turut melawat penjaja di Bazar Ramadan Putrajaya yang menyertai program BSN Cashless 1,000 Penjaja.
Daripada 290 penjaja yang berniaga di bazar tersebut, seramai 107 penjaja telah dilengkapi dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR dan soundbox BSN. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
7



















![[VIDEO] Jangan ambil hati, orang Indonesia ramai tak suka dia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-13-at-10.46.27-AM.jpeg)





























