Penunggang gagal elak saman, dron ‘tangkap’ dari udara

1 week ago 17
Portal Info News Pagi Viral Online

PETALING JAYA – Hasrat penunggang motosikal mengelak daripada dikenakan saman tidak kesampaian apabila Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merakam kesalahan lalu lintas dalam Ops Motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, hari ini.

Operasi yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu menyasarkan penunggang motosikal yang ingkar menggunakan lorong khas serta melakukan pelbagai kesalahan berbahaya di sepanjang 16 kilometer lebuh raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, teknologi dron digunakan bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh sekali gus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya.

“Dalam operasi yang dilaksanakan selama satu jam bermula pukul 11 pagi, pihak kami berjaya mengeluarkan sebanyak 47 keping saman atas pelbagai kesalahan dengan 16 keping saman daripada dron,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, Ops Motosikal kali ini turut mendapat sokongan Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman dan dilaksanakan bagi menangani isu peningkatan kemalangan maut membabitkan motosikal.

Katanya, sebanyak 70 peratus kematian direkodkan di Petaling Jaya membabitkan penunggang motosikal menjadikan golongan itu paling terdedah risiko setiap hari.

“Apa yang membimbangkan, penunggang sering memilih laluan utama sebagai jalan pintas walaupun sudah tersedia lorong motosikal,” jelasnya.

Tambah beliau, alasan yang sering diberi pengguna ialah lorong motosikal berlubang, gelap dan tidak selamat terutama waktu malam, namun tindakan tetap diambil mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan ini boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Kita harap tindakan ini dapat beri kesedaran dan mendidik mereka agar patuhi laluan yang disediakan,” ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi tinggi seperti dron akan diteruskan secara berkala bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif dan menyeluruh.

“Tindakan melibatkan dron ini membuktikan penunggang tidak boleh lagi berselindung atau melarikan diri. Setiap pergerakan mereka dirakam dari udara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |