PUTRAJAYA – Kuasa membeli rakyat Malaysia di bazar-bazar Syawal dilaporkan rendah pada tahun ini meskipun kehadiran pengunjung ke acara itu yang diadakan di banyak lokasi di seluruh negara mencatatkan angka memberangsangkan.
Menurut penganjur Festival Gema Raya Putrajaya 2026, Rayme Zainal, ketika ini, rata-rata pengunjung yang hadir lebih memilih ‘mencuci mata’ sahaja berbanding membuat pembelian di bazar berkenaan.
Katanya, keadaan itu berikutan ramai rakyat Malaysia membuat persiapan Syawal lebih awal selain memilih membeli secara online.
“Jadi, apabila semua kelengkapan sudah dibeli lebih awal, mereka memilih datang ke bazar Syawal untuk merasai ‘vibe’ menyambut Aidilfitri sahaja.
“Kuasa membeli menjadi kurang meskipun kedatangan pengunjung khususnya pada hujung minggu mencatatkan angka memberangsangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Terdahulu, Festival Gema Raya Putrajaya 2026 dijadualkan berlangsung selama 33 hari di PICC dengan menyediakan lebih 300 vendor barangan perayaan selain menampilkan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Ernie Zakri dan Khai Bahar.
Mengulas lanjut, Rayme berkata, bagaimanapun, masih terdapat kumpulan pembeli yang memilih memberi barangan kelengkapan raya di bazar berbanding pembelian secara online.
“Jika mereka membeli di bazar, biasanya pembeli dapat merasai kualiti barangan itu, jenis bahan yang digunakan serta dapat mencari saiz tepat. Selain itu, jika mereka bijak tawar-menawar, penjual juga mungkin akan memberikan tawaran yang lebih murah,” katanya.
Jelasnya lagi, pengunjung juga perlu mengambil kesempatan untuk berkunjung ke bazar Syawal pada minggu terakhir sebelum sambutan Aidilfitri berikutan berpeluang menikmati harga runtuh.
“Secara kebiasaan, ramai peniaga akan membuat tawaran promosi pada saat-saat akhir berikutan mahu menghabiskan stok yang ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7



















![[VIDEO] Jangan ambil hati, orang Indonesia ramai tak suka dia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-13-at-10.46.27-AM.jpeg)





























