JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima empat lagi laporan polis berhubung insiden pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan beberapa kampung orang asli (KOA) di Sayong Pinang, Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan itu menjadikan sebanyak tujuh laporan diterima sejak 31 Oktober sehingga semalam.
“Empat laporan polis yang terbaru diterima semalam. Sebelum ni, saya nyatakan ada tiga laporan polis dibuat.
“Satu dibuat oleh pemilik lombong dan tiga adalah penduduk kampung yang terlibat. Saya boleh sahkan ada tujuh laporan polis dibuat daripada sejak 31 Oktober sehinggalah semalam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman menjelaskan, pihaknya hanya menerima laporan dan siasatan dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dibawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Kita tidak menjalankan siasatan utama, namun membantu dari segi keselamatan dan koordinasi bersama agensi lain bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu, Jumaat lalu, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff mengesahkan ‘bund silt pond’ atau kolam takungan sedimen daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi, telah pecah.
Susulan kejadian itu, penduduk Orang Asli terjejas dan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air.
Sementara itu, Ranhill SAJ dalam kenyataan berasingan memaklumkan loji rawatan air (LRA) di sepanjang sungai berkenaan terpaksa menghentikan operasi susulan pencemaran air mentah hingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang.
Operator air Johor itu memaklumkan kawasan terlibat adalah sebahagian Senai dan Skudai, Seelong dan Felda Linggiu, Kulai; Petri Jaya, Kota Tinggi; dan Lima Kedai, Iskandar Puteri.-KOSMO! ONLINE

1 day ago
7











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































