Pemilihan PKR: Tiada rombakan Kabinet, tidak halang jika ada cita-cita

7 hours ago 4

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak akan membuat sebarang rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan selepas Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang akan diadakan pada minggu ini.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pada masa sama, beliau juga tidak boleh menghalang mana-mana pihak sekiranya ingin melepaskan jawatan dalam Kabinet.

“Ini pertandingan antara sahabat-sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama sekali soal perubahan Jemaah Menteri.

“Saya tidak tahu dia benar-benar dengar, tetapi tidak boleh menghalang orang lain punya cita-cita, dia ingat kosong, sudah mahu ganti,” katanya pada Sesi Taklimat Bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini tadi.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai langkah menghormati mandat akar umbi, sambil menegaskan bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, pemilihan kali ini juga berperanan memilih pemimpin yang mampu mengukuhkan jentera parti dan merangkul semua kekuatan.

“Tetapi kalau tanya saya, tidak ada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan.

“Pertandingan ini sekali lagi saya tekankan, pilih yang mampu membantu perkukuh jentera parti dan merangkul semua kekuatan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah ASEAN akan melihat situasi yang berlaku itu sebagai elemen ketidakstabilan politik negara, Anwar berkata, perkara itu perlu dilihat secara positif.

“Kalau tidak stabil, itu jadi diktaktor, tiada pertandingan di setiap tahap.

“Jadi, kita harus lihat secara positif. Saya tidak fikir ia menjejaskan apa-apa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |