Bekas kerani kewangan didakwa 47 pertuduhan palsu dokumen dan pecah amanah

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Bekas ketua kerani kewangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan menggunakan dokumen palsu melibatkan resit rasmi Kerajaan Malaysia berjumlah RM63,923.20.

Tertuduh, Mizatul Hafiza Mohamad, 41, yang kini bekerja penolong pegawai pentadbiran di sebuah jabatan agama mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mizatul Hafiza didakwa telah menggunakan resit rasmi kerajaan Malaysia yang palsu atas nama Kuarters Balai Polis Sri Hartamas, Shabak Enterprise, Persatuan Penduduk Perumahan Polis Balai Kepong, Berek Balai Polis Jinjang, Balai Polis Travers dan 11 entiti lain berjumlah RM63,923.20 di IPK Kuala Lumpur antara 8 September 2021 hingga 10 Mac lepas.

Berdasarkan siasatan, wang tersebut didakwa diserahkan kepada tertuduh untuk membayar bil-bil air bagi pihak penghuni kuarters dan berek berkenaan, namun tiada sebarang pembayaran dibuat.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan dan Noor Syafina Muhd. Redzuan memohon satu tarikh lain untuk fakta dan hukuman kerana pihak itu belum bersedia.

“Kami memohon satu tarikh dalam tempoh tiga minggu. Kami juga mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, Mizatul Hafiza yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa yang tidak sihat.

Hakim Azrul menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan menetapkan 20 Jun ini untuk jatuh hukum.

Bekas kerani itu turut didakwa atas 21 pertuduhan menggunakan resit kerajaan yang palsu berjumlah RM30,695.60 melibatkan 13 entiti termasuk anggota polis dan kuarters balai polis.

Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 September 2023 hingga 15 Januari lepas di tempat yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mizatul Hafiza turut berdepan empat pertuduhan pecah amanah apabila tidak membuat bayaran kepada hasil kerajaan berjumlah RM101,635.30 yang berada dalam jagaan tertuduh sebagai pemegang kuasa di antara 8 September 2021 hingga 15 Januari tahun ini.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Hakim Hamidah menetapkan ikat jamin sebanyak RM44,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Jun untuk lantikkan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |