Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik mara bergaya ke pusingan kedua

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dua beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak kemenangan apabila masing-masing melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Masih segar dengan kejayaan meraih gelaran juara di Terbuka Thailand minggu lalu, kedua-dua pasangan negara mempamerkan aksi bertenaga apabila meraih kemenangan straight set ke atas lawan masing-masing.

Beregu wanita negara, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking keempat dunia, tidak berdepan masalah besar apabila menundukkan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-17, 21-16 dalam tempoh 37 minit.

Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan dengan wakil Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad pada pusingan kedua esok dalam misi memburu tempat ke suku akhir.

BEREGU wanita negara, Pearly Tan (kanan) dan M. Thinaah (kiri) ketika perlawanan menentang Hong Kong, Fan Ka Yan dan Yau Mau Ying pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena di sini, hari ini. Gambar: ISKANDAR ISHAK

Mengulas prestasi mereka, Pearly mengakui mereka bermula agak perlahan sebelum kembali menguasai permainan selepas menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Pada set pertama kami agak perlahan, tapi selepas mata ke-11, kami mula menyesuaikan diri dengan arah angin dan gelanggang. Dari situ kami dapat mengeluarkan corak permainan sebenar kami,” katanya.

Sementara itu, gandingan beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila mengetepikan cabaran pasangan Taiwan, Wang Chi Lin-Chiu Hsiang Chieh 21-18, 21-16 dalam masa 39 minit.

Pasangan ranking No. 3 dunia itu dijadual berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han di pusingan kedua esok.

Masters Malaysia 2025 menjadi pentas penting buat kedua-dua beregu negara untuk terus mengutip mata ranking menjelang Kejohanan Dunia dan Siri Super yang akan datang. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |