Kecederaan menghantui Tze Yong, tarik diri Malaysia Masters 2025

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Langkah pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk kembali mencari rentak kemenangan sekali lagi terhenti apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, Tze Yong memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 22-20 pada set pertama, namun segalanya berubah ketika beliau sedang mendahului 4-3 pada set kedua.

Insiden malang tersebut berlaku ketika pemain berusia 25 tahun itu cuba membalas pukulan deras lawan, sebelum terjatuh dan kelihatan menahan kesakitan pada bahagian lutut kanannya.

Selepas menerima rawatan dalam gelanggang, Tze Yong membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan, sekali gus menyerahkan kemenangan kepada Ka Long.

NG Tze Yong ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena di sini, hari ini. Gambar: ISKANDAR ISHAK

Kecederaan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat badminton tempatan, memandangkan Tze Yong baru sahaja kembali menyertai kejohanan antarabangsa selepas hampir setahun menyepi akibat kecederaan belakang.

Tze Yong sebelum ini mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang ketika beraksi dalam Terbuka Malaysia 2024 yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan tempoh pemulihan yang panjang.

Beliau kembali ke gelanggang secara kompetitif pada April lalu menerusi Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China sebelum menyertai Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, namun tersingkir awal di kedua-dua kejohanan tersebut.

Malaysia Masters 2025 sepatutnya menjadi platform untuk mengembalikan semula keyakinan serta rentak permainan terbaiknya, namun insiden di pusingan pertama ini kembali menguji tahap kesediaan fizikal dan mental beliau.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka akan menjalankan pemeriksaan terperinci dalam masa terdekat bagi menilai tahap kecederaan lutut kanan yang dialami oleh pemain tersebut. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |