Kerajaan perkukuh keupayaan angkatan laut, agensi penguatkuasaan maritim

5 hours ago 2

LANGKAWI – Keupayaan angkatan laut dan agensi penguatkuasaan maritim akan terus diperkukuhkan dalam melindungi kepentingan negara termasuk berkaitan ancaman lanun, penyeludupan serta pencemaran laut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara juga perlu mengikuti perkembangan teknologi baharu yang boleh mempertingkatkan kemampuan dalam menangani isu-isu maritim.

Katanya, kemakmuran ekonomi yang sebenar tidak mungkin dapat dicapai tanpa jaminan keselamatan di laut.

“Ancaman tradisional dan bukan tradisional termasuk perikanan haram, lanun, penyeludupan dan pencemaran laut terus mencabar kedaulatan negara.

“Gangguan rantaian bekalan, geopolitik yang berubah dan ancaman keselamatan baharu menunjukkan betapa penting dan perlunya pertahanan maritim yang kukuh dan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Maritim Malaysia 2025 sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Justeru itu, beliau berkata, dalam memperkukuhkan lagi keselamatan maritim, kerajaan akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi pemantauan yang canggih termasuk penggunaan kenderaan tanpa pemandu autonomi (AUV) dan mekanisme perkongsian risikan.

“Langkah itu juga melibatkan latihan bersama tentera laut dengan rakan antarabangsa yang dipercayai bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap ancaman masa hadapan,” ujarnya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan juga akan memberi perhatian khusus kepada kemajuan teknologi baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi analisis data dan pemantauan ancaman maritim.

“Perkara kedua adalah kepentingan rangkaian kabel dasar laut di perairan serantau, yang turut dibincangkan semasa ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) Retreat sebelum ini.

“Ketiga, penyelidikan dan penerokaan dasar laut termasuk aktiviti penamaan ciri-ciri dasar laut. Semua isu ini tidak harus diketepikan dalam perbincangan agenda maritim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |