Jonassen harap kecederaan Tze Yong tidak serius

9 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen berharap kecederaan terbaharu yang menimpa Ng Tze Yong ketika aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 tidak serius dan hanya melibatkan kecederaan ringan.

Menurut Jonassen, berdasarkan pemerhatian awal serta rakaman insiden tersebut, beliau percaya Tze Yong sekadar mengalami ketegangan otot ringan di bahagian lutut kanan selepas tergelincir ketika cuba mengambil pukulan lawan dari Hong Kong, Ng Ka Long di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

“Saya harap ini bukan kecederaan yang serius. Berdasarkan pemeriksaan awal pasukan perubatan, memang ada sesuatu yang berlaku, namun kami masih menunggu keputusan imbasan yang akan dilakukan esok.

“Selepas melihat semula rakaman video kejadian, saya berharap ia hanya melibatkan ketegangan otot, dan bukannya kecederan ligamen atau struktur utama. Kita perlu tunggu keputusan rasmi sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Tambah Jonassen, Tze Yong sebelum ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan tampil lebih agresif sejak kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan belakang tahun lalu.

“Dia bermain sangat baik hari ini. Lebih agresif dan yakin dengan corak permainan yang kami rancang sebelum ini. Sayangnya, dia tergelincir dan terpaksa menarik diri ketika mendahului set kedua,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada faktor keletihan menyumbang kepada kecederaan tersebut selepas menyertai tiga kejohanan berturut-turut, Frost menegaskan situasi yang berlaku tiada kaitan dengan aspek fizikal.

“Jika ia berlaku pada penghujung set kedua atau di set ketiga, mungkin boleh dikaitkan dengan keletihan. Tapi hari ini dia hanya bermain satu set dan sedikit sahaja pada set kedua. Punca utama ialah tergelincir, bukan disebabkan keletihan,” jelasnya.

Kecederaan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat badminton tempatan, memandangkan Tze Yong baru sahaja kembali menyertai kejohanan antarabangsa selepas hampir setahun menyepi akibat kecederaan belakang.

Tze Yong sebelum ini mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang ketika beraksi dalam Terbuka Malaysia 2024 yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan tempoh pemulihan yang panjang.

Beliau kembali ke gelanggang secara kompetitif pada April lalu menerusi Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China sebelum menyertai Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, namun tersingkir awal di kedua-dua kejohanan tersebut. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |