Adam Asmuni dibenar kemuka keterangan baharu dalam rayuan

7 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Asmuni dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya bagi kes lucut hak terhadap aset dan barangan yang dirampas pihak berkuasa semasa serbuan dadah.

Keterangan baharu yang akan dimasukkan itu ialah berhubung penyata akaun bank dalam syarikatnya.

Hakim K.Muniandy memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada peguam Amirrul Jamaluddin yang mewakili Adam selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan yang betindak sebagai responden.

Terdahulu, Amirul berhujah penyata akaun bank syarikat milik Adam dari 2014 hingga 2019 boleh digunakan sebagai keterangan untuk menyokong rayuannya terhadap perintah lucut hak yang diberikan hakim Mahkamah Sesyen pada 14 Mac 2023 di bawah Seksyen 32 (2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988.

“Penyata akaun bank ini relevan dalam rayuan tersebut bagi menunjukkan status kewangan anak guam kukuh yang mana pendapatan diperolehinya. Syarikat itu juga sah dan banyak memperolehi tender puluhan dan jutaan ringgit daripada kerajaan. Oleh itu, aset yang dirampas juga adalah daripada sumber yang sah,” kata peguam itu.

Mendengar perkara itu, Mohamad Shahrizzat membantah permohonan berkenaan dengan berhujah penyata akaun bank sepatutnya dikemukakan semasa prosiding pendengaran lucut hak di Mahkamah Sesyen dua tahun lepas.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak Hakim Muniandy kemudian menetapkan 30 Jun ini bagi pendengaran rayuan tersebut.

Pada 14 Mac 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak menolak permohonan Adam dan isterinya, Lyiana Roslee untuk mendapatkan semula kereta BMW X5 dan BMW 328i serta barangan lain termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Pada Januari lepas, Adam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu memiliki 1.58 kilogram kanabis dan 7.87 liter cecair dadah jenis sama.

Bagaimanapun, Lyiana dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |