GOMBAK – Seorang pemandu bas ekspres mengundang bahaya kepada penumpangnya apabila dipercayai positif dadah jenis morfin dalam operasi penguatkuasaan bersempena Hari Raya Aidiladha yang berlangsung selama seminggu bermula 4 Jun lalu.
Pemandu lelaki berusia 30-an itu ditahan di Plaza Tol Gombak ketika dalam perjalanan membawa penumpang dari Lumut, Perak menuju ke Kemaman, Terengganu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata pemandu tersebut antara 44 yang diperiksa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi khas tersebut.
“Pemandu tersebut didapati positif dadah ketika saringan awal yang dijalankan oleh AADK. Dia memang mengaku ada sejarah mengambil dadah tapi sejak berapa lama dia ambil itu kita kena siasat lagi.
“Pemandu kedua juga kita periksa dan keputusannya negatif maka pemandu kedua itu mengambil alih bas ekspres untuk membawa penumpang menuju ke destinasi. Pemandu tersebut akan dibawa ke ibu pejabat AADK bagi tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1), Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha di Stesyen Penguatkuasa JPJ, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hamidi berkata dalam operasi hari ini yang berlangsung sejak pukul 1 petang tadi, sebanyak 620 kenderaan diperiksa manakala 60 daripadanya diambil tindakan.
Beliau berkata, tindakan diambil atas pelbagai kesalahan antaranya cermin gelap, insurans tamat tempoh, tidak memperbaharui lesen kenderaan motor dan lesen memandu kompeten, nombor pendaftaran tidak mengikut spefikasi dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Hamidi berkata operasi yang berakhir hari ini mendapat kerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Imigresen, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan AADK.
Hamidi berkata, dalam tempoh tujuh hari operasi dijalankan, sebanyak 33,988 kenderaan diperiksa manakala 1,111 daripadanya diambil tindakan.
“Sebanyak 2,437 notis saman dikeluarkan dan 26 kenderaan terdiri daripada 23 motosikal, dua kereta dan lori kecil disita. Kesalahan yang paling banyak adalah teknikal seperti motosikal, brek, tayar botak iaitu 718 kesalahan.
“Diikuti dengan kesalahan berkaitan lesen tamat tempoh atau tiada perlindungan insurans (657 kesalahan) dan tiada lesen memandu atau tamat tempoh (625 kesalahan),” katanya.
Hamidi berkata JPJ akan terus komited dalam memastikan keselamatan seluruh pengguna jalan raya bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.- KOSMO! ONLINE