Pelajar tingkatan empat hilang selepas dimarahi bapa

1 day ago 7

KUANTAN – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas didapati keluar daripada rumah tanpa pengetahuan keluarganya di Taman Chendor Perdana, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laporan kehilangan remaja tersebut dibuat oleh bapanya di Balai Polis Cherating kira-kira pukul 12.09 tengah malam, semalam.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Muhammad Harraz Ruslan Kamal, 16, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu, kali terakhir dilihat berada di rumahnya pada pukul 3.15 petang kelmarin.

“Siasatan awal mendapati pengadu meninggalkan rumah sebentar untuk mengambil anak ketiganya pulang dari sekolah.

“Namun, sebaik pulang ke rumah kira-kira pukul 3.30 petang pengadu mendapati mangsa tiada di rumah,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pengadu cuba menghubungi mangsa menerusi telefon bimbit namun tidak dijawab dan usaha mengesan mangsa di sekitar kawasan perumahan serta Pantai Teluk Moknik juga gagal.

Wan Mohd Zahari berkata, bapa mangsa turut memaklumkan bahawa insiden itu berlaku dipercayai akibat perselisihan faham antara mereka.

Katanya, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju T putih dan seluar trek hitam dan dipercayai membawa bersama telefon bimbit jenis Oppo Reno, sebuah power bank dan sedikit wang tunai semasa keluar daripada rumah.

“Pengadu turut mengesyaki mangsa mungkin ke Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan rakannya dan sehingga kini, usaha mengesan mangsa masih giat dijalankan.

“Polis telah merakam percakapan pengadu, membuka kertas siasatan dan mengedarkan hebahan kehilangan orang hilang kepada pihak berkaitan,”katanya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Muhammad Harraz diminta menghubungi Balai Polis Cherating atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |