AMPANG – Pihak pembelaan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Hulu Selangor, memohon supaya remaja itu dirujuk ke pakar psikiatri.
Peguam, Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh berusia 19 tahun membuat permohonan tersebut pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamarudin.
“Kami ingin memaklumkan sepanjang interaksi kami dengan tertuduh dan setelah dimaklumkan ibu tertuduh disokong penilai psikologi tertuduh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah bahawa tertuduh berkemungkinan besar masalah kewarasan dan tidak berupaya membela diri.
“Jadi, kami ingin membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) untuk tertuduh dirujuk ke hospital kerajaan bagi penilaian psikiatri,” kata peguam itu.
Sementara itu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memaklumkan kepada mahkamah bahawa dokuman yang masih belum tersedia ialah laporan forensik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta laporan perubatan mangsa.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Norshila kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi status laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan CCTV.
Sebelum ini, tertuduh telah menukar kepada pengakuan tidak bersalah ketika prosiding kali kedua pada 27 Mac yang mana sebelum itu pada 27 Februari lalu tertuduh telah mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagi maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor pukul 6.20 pagi pada 21 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan di bawah kesalahan Seksyen 14(a) Akta kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga boleh dikenakan sebat.
Sementara itu, Lingswaran ketika ditemui selepas prosiding berkata representasi yang akan dihantar adalah bagi menggugurkan pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid pada 21 Februari lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita dan rakaman video CCTV masjid berkenaan tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri dan ia tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud. – KOSMO! ONLINE.