Pelajar kolej mengaku lakukan hubungan terlarang bertiga

17 hours ago 9

MELAKA – Seorang pelajar kolej dan dua lagi rakannya mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii, April lalu.

Hakim Kanan, Abu Bakar Mohd. Daud bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Nabil Junaidi, 24; Mohammad Fahmi Kamarudin, 26, dan Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, pada 22 Oktober ini bagi meneliti fakta kes.

Mengikut pertuduhan terhadap Muhammad Nabil, dia didapati dengan sengaja melakukan liwat bersama Mohammad Fahmi di Kampung Gangsa, Durian Tunggal dalam Daerah Alor Gajah, 11 April lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau dipenjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Dalam pertuduhan berasingan, Muhammad Nabil, Mohammad Fahmi dan Meor didakwa secara bersama-sama dan sengaja cuba melakukan liwat serta seks oral secara bertiga.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor, dalam Daerah Melaka Tengah, pada 27 Julai 2025.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 57 Enakmen sama yang membawa hukuman sama denda maksimum RM5,000 atau dipenjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan, manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin dan Timbalannya, Norazita Mohd. Ali dan Pendakwa Syarie Rabiatul Adabiah Mohd. Dahlan.

Atras dalam hujahannya memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira ketiga-tiga tertuduh sekadar meminta hukuman mereka diringankan apabila peluang membuat rayuan diberikan, sekali gus menggambarkan sikap mengambil enteng kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Abu Bakar kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |