Ops Luxury 2.0 : Kenderaan mewah ahli perniagaan popular antara disita JPJ

20 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Kereta mewah milik seorang ahli perniagaan terkenal antara yang disita selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 53 kenderaan pelbagai jenama dalam Ops Luxury 2.0 yang dijalankan di sekitar Lembah Klang sejak 30 Julai hingga hari ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil operasi itu mendapati 23 kenderaan dipandu warga asing tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans.

“Dalam tempoh tiga hari operasi ini, pelbagai kesalahan direkodkan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tidak sah, pamer nombor pendaftaran belum didaftarkan serta kesalahan teknikal lain.

“Semua kenderaan terbabit disita dan dihantar ke depoh simpanan JPJ untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Muhammad Kifli berkata, antara kenderaan mewah yang ditahan ialah Rolls Royce, Lamborghini, Aston Martin dan beberapa model mewah lain dengan nilai keseluruhan mencecah jutaan ringgit.

JPJ turut mengesan sebuah Mercedes yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2022.

Katanya, antara alasan yang diberikan pemilik adalah ‘lupa’ memperbaharui cukai jalan dan insurans, namun beliau menegaskan ia tidak boleh diterima.

“Bayangkan warga asing memandu kenderaan mewah di Malaysia tanpa lesen sah, cukai jalan dan insurans. Lebih membimbangkan, ada yang menggunakan lesen memandu antarabangsa palsu dibeli pada harga RM5,000 di Dubai,” jelasnya.

Beliau berkata, operasi ini turut memberi fokus kepada warga asing yang memandu kenderaan mewah, sama ada milik syarikat, disewa atau dipinjam, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Tambahnya, JPJ juga sudah mengenal pasti lokasi dan pemilik kenderaan mewah tanpa cukai jalan dan insurans di seluruh negara.

“Ini peringatan tegas kepada semua pemilik kenderaan, terutama kenderaan mewah. Pastikan cukai jalan dan insurans sentiasa diperbaharui kerana kami tidak akan berkompromi.

“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan integriti sistem pengangkutan negara terpelihara,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh membuat aduan melalui aplikasi myJPJ atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |