Malaysia berjaya pertahan ‘garis merah’ dalam rundingan AS

20 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkongsi beberapa ‘garis merah’ yang berjaya dipertahankan negara dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS), yang membawa kepada pengumuman kadar 19 peratus bagi Malaysia.

Katanya, ia antara lain melibatkan pengenaan duti eksais; pemansuhan lesen import bagi produk dari AS; liberalisasi pegangan ekuiti syarikat dalam sektor strategik negara; serta hak keistimewaan Bumiputera.

“Mereka meminta kita menghapuskan duti eksais, seperti mana yang anda tahu, duti ini dikenakan kepada tiga item iaitu kereta, tembakau dan minuman keras.

“Industri automotif penting bagi AS, namun kita juga punya industri automotif, kita menggaji 700,000 pekerja dalam sektor ini dan kita juga punya kereta nasional dan rantaian bekalan yang pelbagai.

“Dalam industri lain kita tidak ada duti eksais dan semua ini bagi mereka tidak adil, namun negara-negara (pengeksport) lain turut berdepan situasi sama. Kita ada polisi sendiri bagi memastikan kita terus kekal kompetitif.

“Buat masa ini, saya rasa kita belum bersedia lagi untuk menghapuskan halangan tersebut. Begitu juga dengan pegangan ekuiti dalam sektor strategik, serta beberapa permintaan mereka untuk mengkaji semula undang-undang pada platform digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pengumuman tarif AS di Menara MITI, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, pihaknya telah menerima kelulusan Kabinet pada 25 Julai lalu untuk Malaysia mengemukakan tawaran terbaik terakhirnya kepada AS, yang antara lain melibatkan pembelian 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion untuk fasa pertama, dan 30 pesawat lagi pada nilai sama bagi fasa kedua.

Jelasnya, MITI bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bakal mengeluarkan kenyataan bersama berhubung tarif pada esok atau Ahad, yang bakal memperincikan lagi perkara tersebut.

Tarif baharu itu bakal berkuatkuasa 8 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di Menara MITI di sini hari ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |