Pastikan ibadah haji sah sebelum pulang

1 day ago 8

MEKAH – Jemaah haji Malaysia perlu membuat ‘checklist’ berhubung aspek pelaksanaan rukun dan wajib haji mereka sama ada sah dan sempurna melalui Google Form yang diedarkan Tabung Haji (TH) sebelum pulang ke tanah air.

Pengarah Operasi Bimbingan TH, Shahrin Awaludin berkata, TH memperkenalkan inisiatif baharu dengan mengedarkan borang semakan digital menggunakan platform Google Form kepada semua jemaah haji Malaysia.

“Selain membantu mereka menilai semula pelaksanaan ibadah haji sebelum pulang ke tanah air, langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan setiap ibadah yang dilaksanakan adalah sah, sempurna dan diterima oleh Allah SWT khususnya dalam aspek rukun dan wajib haji.

“Kebiasaannya TH akan mengadakan sesi post-mortem ibadah haji, namun tidak semua jemaah dapat hadir. Jadi, pada tahun ini kita berharap dapat mengumpulkan maklumat yang lebih menyeluruh dengan mengedarkan borang Google Form kepada semua jemaah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tegas beliau, urusan ibadat ini sangat penting dan kritikal kerana tidak mahu timbul sebarang isu selepas para jemaah pulang ke Malaysia.

“Contohnya, berkaitan dengan pembayaran dan pelaksanaan dam di mana perkara ini wajib diselesaikan semasa berada di Tanah Suci.

“Dam tidak boleh dibayar atau dilaksanakan selepas pulang, kerana sembelihan seperti kambing dan fidyah hanya sah dilakukan di Tanah Suci,” katanya.

Selain itu, ujarnya, kegagalan jemaah menyempurnakan rukun haji boleh menyebabkan ibadah haji seseorang itu tidak sah, tergantung dan tidak diterima.

“Pelanggaran wajib haji pula perlu diganti dengan dam yang sah mengikut syarat-syaratnya. Jemaah telah berbelanja besar untuk menunaikan haji.

“Ada yang ini kali pertama, malah mungkin kali terakhir. Justeru, sangat penting untuk mereka menyemak dan memastikan semua ibadah dilakukan dengan sempurna, semata-mata kerana Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, jika jemaah mendapati terdapat amalan yang belum disempurnakan seperti lontaran atau mabit di Mina, mereka dinasihatkan segera merujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).

“Pihak pengurusan TH turut akan mengadakan siri taklimat dan sesi penilaian ibadat haji yang dikenali sebagai ‘Post-Mortem Penilaian Ibadat Haji’ bersama jemaah haji di semua maktab penginapan di Tanah Suci.

“Melalui sesi ini, kita akan memastikan para jemaah telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji. Sekiranya terdapat kekurangan atau perkara yang belum dilaksanakan, pembimbing akan memberikan panduan berkaitan pelaksanaan rukun dan dam yang perlu dilakukan,” katanya.

Ujarnya, jemaah boleh menghubungi Pihtas menerusi aplikasi e-Taib bagi menjawab persoalan berhubung ibadah haji sekiranya malu bertanya secara bersemuka, sekaligus memudahkan komunikasi dengan pembimbing haji walaupun di mana mereka berada. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |