Norjuma didenda RM4,800 rosakkan palang, CCTV kondominium

23 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen dan usahawan, Norjuma Habib Mohamed didenda RM4,800 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang dan televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium, dua tahun lalu.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Norjuma, 45, selepas mengubah pengakuan tidak bersalahnya sebelum ini kepada bersalah pada prosiding hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Norjuma dipenjara lima bulan penjara jika gagal bayar denda dan Norjuma membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Norjuma didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan serta CCTV milik sebuah kondominium, di sini pukul 7.44 dan 7.45 malam pada 28 Julai 2023, yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM4,700.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Faiz Kamal Jaafar yang mewakili Norjuma memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan dia telah menyesal.

“Anak guam saya menyambung belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan. Dia juga ditanggung oleh ayahnya yang merupakan pesara kerajaan,” kata peguam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Radhawa memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami kondominium berkenaan.

Pada Mei lalu, Norjuma didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang wanita, empat tahun lalu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norjuma mengubah pengakuan tidak bersalahnya sebelum ini kepada bersalah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |