Nahas UPSI: Sultan Nazrin, Tuanku Zara mencemar duli lawat keluarga mangsa

5 hours ago 3

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) di sini untuk menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli hari ini.

Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, baginda turut mendapat sembah taklimat mengenai tragedi kemalangan tersebut ketika kunjungan berkenaan.

“Baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kejadian yang melibatkan kehilangan 15 nyawa secara tragik dan mengerikan.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Meor Hezbullah berkata, susulan daripada kekerapan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang kebelakangan ini begitu kerap berlaku, baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan.

Katanya, Sultan Nazrin menitahkan semua pihak yang berkaitan wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada.

Katanya, ia adalah untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang.

“Baginda menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi, dalam usia yang begitu muda dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.

“Baginda berdoa agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi dengan reda, dan mendoakan agar roh mereka yang terkorban dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin dan para solehah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |