Nahas UPSI: Pinjaman PTPTN 15 mangsa dihapuskan

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) baru-baru ini telah dilupuskan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang turut memaklumkan bahawa tidak timbul sebarang isu berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan kesemua mangsa kemalangan tersebut.

“PTPTN telah melupuskan dan memaafkan keseluruhan pinjaman yang dibuat oleh 15 orang pelajar UPSI yang terlibat.

“Jadi tidak ada sebarang isu berkaitan pinjaman bayaran balik dengan 15 mangsa yang dimaksudkan,” katanya dalam satu sidang akhbar mingguan dan pengumuman logo serta tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, hari ini.

Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan kenyataan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan bantuan tambahan kepada keluarga mangsa kemalangan membabitkan pelajar UPSI berkenaan.

“Perdana Menteri juga telah mengumumkan untuk memberikan bantuan tambahan kepada setiap keluarga mangsa sebanyak RM10,000 kepada mangsa yang telah meninggal dunia dan RM5,000 kepada mangsa yang cedera,” ujarnya.

Tambah beliau, arahan juga telah diberikan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyelidik aspek insurans bagi memastikan keluarga mangsa turut mendapat pembelaan sewajarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Jeli-Gerik pukul 12.45 tengah malam, semalam.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih menghala ke kampus UPSI di Tanjung Malim.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |