Nahas UPSI: Nurly Shahirah meninggal al-Quran di tangan

17 hours ago 6

PETALING JAYA – Kematian salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, pagi semalam dicemburui oleh orang ramai.

Mana tidaknya, Nurly Shahirah Azman, 23, merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran.

Abangnya, Mohd Najmuddin Azman, 28, turut memuat naik gambar koleksi tahriri (salinan tulisan tangan) yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah di akaun Facebooknya.

Katanya, Nurly Shahirah suka menulis satu al-Quran menggunakan tangan bagi menguatkan hafalannya.

“Berpusu-pusu media hubungi aku dik tanya apa amalan kau.. Ada yang beritahu dekat tempat kejadian wangi sangat. Dik, kau jaga al-Quran sangat-sangat baik dik.

“Kau tak pernah terlepas mengulang al Quran stiap hari. Kita jumpa di syurga ya dik. Kami sayang kau dik. Tenanglah kau disana,” tulisnya.

Najmuddin turut berkongsikan bahawa adiknya meninggal di lokasi kejadian sambil memegang al-Quran di dada.

“Dik kau pergi al-Quran di tangan dan di dada dik.. Abang bangga dengan kau. Pergi mana-mana tak pernah tinggal al-Quran kau,” tulisnya.

Dalam perkongsian lain, Allahyarhamah disifatkan oleh gurunya sebagai seorang yang sangat ‘bersungguh’ menjaga Al-Quran serta sering meminta gurunya untuk menguji hafazannya.

Selain Nurly Shahirah, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu turut meragut nyawa 14 pelajar UPSI lain.

Yang terkorban ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.

Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

Kemalangan membabitkan sebuah bas yang dalam perjalanan menuju ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |