Nahas UPSI: Jangan buat spekulasi – Polis

7 hours ago 3

GERIK – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik dekat Tasik Banding awal pagi tadi.

Dalam kejadian antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.

Kejadian berlaku ketika bas yang dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan menyeluruh daripada semua aspek sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu berlaku.

“Kita akan lihat sama ada kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan selain membuat semakan rekod (pemandu dan bas).

“Nahas berlaku hala ke Gerik di mana keadaan jalan berselekoh dan menurun selain suasana gelap di lokasi kejadian.

“Buat masa sekarang, masih terlalu awal untuk kita tentukan apa yang berlaku. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas dakwaan bas tersebut dipandu laju, Noor Hisam berkata, pihaknya belum boleh mengesahkan perkara itu kerana siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tambahnya, siasatan kes itu juga akan melibatkan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan Miros.

“Berdasarkan pemeriksaan pada bas tersebut, didapati kenderaan itu tiada kamera papan pemuka (dashcam),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |