Nahas UPSI: Brek kosong, saya dah elak banyak kereta – Pemandu bas

16 hours ago 6

KOTA BHARU – “Brek kosong dan saya sudah elak banyak kereta, tetapi akhirnya terpaksa langgar Perodua Alza di depan dan besi pembahagi jalan”.

Itu luahan Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, yang merupakan pemandu bas terlibat nahas mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik dekat Tasik Banding, Perak semalam.

Amirul Fadhil berkata, dia tiada pilihan lain apabila terpaksa merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza itu apabila brek bas yang dipandunya sudah kosong sejauh beberapa kilometer selepas banyak kali ditekan.

Menurutnya, dia juga sudah banyak kali menarik brek tangan bas, namun masih gagal untuk memberhentikan kenderaan tersebut.

“Saya sudah mengepam banyak kali brek kaki, namun ia terasa kosong. Keadaan itu menyebabkan saya mengelak banyak kereta sebelum hilang kawalan dan merempuh Perodua Alza dan besi pembahagi jalan.

“Selepas bas terbalik, saya keluar melalui cermin depan bas sebelum memanggil penumpang-penumpang untuk keluar melalui laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Amirul Fadhil yang berasal dari Besut, Terengganu itu memberitahu, dia tidak menyangka kemalangan itu mengorban seramai 15 nyawa dan kejadian itu merupakan nahas pertama yang dialaminya sejak memandu bas kira-kira lima tahun lalu.

Menurutnya, bas tersebut kelihatan dipandu dalam keadaan laju apabila brek pada kenderaan tersebut langsung sudah tidak berfungsi.

“Ditambah pula keadaan jalan yang menuruni bukit, kelajuan bas terus bertambah apabila tidak dapat menekan brek.

“Saya seolah-olah mati hidup semula apabila masih bernyawa selepas nahas itu. Saya ketika ini dirawat di Hospital Taiping selepas mengalami kecederaan pada jari dan tangan selepas terkena serpihan cermin yang pecah. Saya juga sedang menunggu masa untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, JRTB Jeli-Gerik semalam, seramai 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus UPSI di Tanjung Malim.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling, Kedah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |