Nahas UPSI: Al-Quran berada dalam pelukan Nurly

20 hours ago 6

PETALING JAYA – “Aku tak tahu nak gambarkan macam mana, Nurly. Pemergianmu sangat terasa.”

Itu luahan sahabat Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, yang maut dalam nahas yang meragut 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak semalam.

Menerusi hantaran pemilik akaun @silesungpipit98, dia memaklumkan perbualan terakhir mereka adalah pada Hari Raya Aidiladha, sehari sebelum tragedi meragut nyawa sahabatnya sejak di prasekolah itu.

“Kali terakhir aku hantar WhatsApp pada raya pertama, sehari sebelum kau pergi buat selama-lamanya. ‘Nurly, jom makan dekat rumah aku’. Tapi kau jawab, ‘Aku nak pergi dah lah’,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tambahnya, mereka sempat bertemu buat kali terakhir ketika Allahyarham berkunjung ke rumahnya kerana teringin memakan popia yang dimasaknya.

“Kau minta aku pos (kirim) ke UPSI, tapi tak kesampaian. Akhirnya, aku dan suami balik kampung masa cuti semester. Aku masakkan popia khas untukmu. Rupanya itulah kali pertama dan terakhir kau rasa air tanganku,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Nurly ditemui bersama kitab suci al-Quran dalam pelukan dan jasadnya berbau harum sebelum dikebumikan.

“Mayatnya wangi, sebab dia jaga al-Quran. Sangat wangi tadi,” luahnya.

Tinjauan di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa dukacita serta menitipkan doa dan ucapan takziah buat mangsa.

“Hujan lebat petang ni seolah-olah merestui pemergiannya. Semoga syurga buat kawanmu, Nurly,” ujar @Mohammadpahriandipinci.

“Seorang yang 30 juzuk di dadanya, ditemui memeluk al-Quran. Syahid buatmu, dik,” komen @Auszidane.

“Jawapan nak ‘pergi’ tu adalah ‘pergi’ ke negeri abadi,” kata @Normarini992.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan abang kepada Nurly Shahirah, Mohd Najmuddin Azman, 28, berkongsikan bahawa adiknya meninggal di lokasi kejadian sambil memegang al-Quran di dada.

Kemalangan membabitkan sebuah bas yang dalam perjalanan menuju ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu meragut nyawa 15 pelajar UPSI. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |