KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mencari jalan untuk memperluaskan inisiatif FLYSiswa, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM400 kepada pelajar yang memerlukan di peringkat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Menterinya, Anthony Loke, berkata buat masa ini kerajaan berdepan kekangan kewangan untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif FLYSiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana jumlah penerima yang terlibat amat besar.
“Sama ada nak diperluaskan kepada pelajar IPTS ia melibatkan jumlah sangat besar. Bukan kita tak nak tapi ada kekangan dari segi kewangan. Satu orang RM400, jumlah bukan kecil, kalau 100,000 orang, jadi RM40 juta.
“Namun begitu kita tetap mencari jalan untuk melihat bagaimana dapat memperluaskan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di peringkat IPTS, kita pun sudah terfikir perkara ini apabila laksanakan inisiatif ini sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang mahu tahu sama ada MOT berhasrat untuk meluaskan kelayakan inisiatif terbabit kepada pelajar IPTS.
Pada masa sama, Anthony menjelaskan bahawa setakat ini, baucar tiket penerbangan bernilai RM400 itu diberikan kepada pelajar peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej perguruan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, kemudahan itu bertujuan membantu pelajar, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung, untuk pulang ke kampung halaman dengan kos yang lebih berpatutan.
Dalam perkembangan sama, Anthony berkata sepanjang tahun ini MOT membelanjakan RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,744 tiket penerbangan laluan-laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan iaitu RM491 untuk setiap tiket penerbangan yang layak.
Jelasnya, dengan subsidi ini, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang adalah RM499 walaupun purata harga sebenar adalah RM990.
“Subsidi untuk tahun ini telah dilaksanakan untuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya.
Tambah Anthony, pada tahun lalu MOT telah membelanjakan RM11 juta untuk mensubsidikan 26,993 tiket penerbangan yang melebihi harga siling RM599.
“Ini bermaksud harga purata sebenar tiket penerbangan ini adalah RM1,007. Kerajaan telah mensubsidikan RM408, menjadikan harga maksimum yang dibayar oleh penumpang adalah RM599,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
5











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































