JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor mencatat kejayaan besar apabila menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) serta merampas mercun dan bunga api bernilai keseluruhan hampir RM627,400 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 2 petang menerusi Op Taring Landai di kawasan Pasir Gudang di sini.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin menyerbu dua buah lori dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang sedang memindahkan minyak sawit mentah dari tong dram besi sebuah lori ke dalam lori lain.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 24 tong dram besi berisi minyak sawit mentah dan 23 tong kosong dengan anggaran keseluruhan 4.8 tan metrik minyak.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Azman berkata, nilai keseluruhan rampasan bagi kes tersebut dianggarkan berjumlah RM185,100 dan kes disiasat mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 kerana memindahkan atau mengalih minyak sawit mentah tanpa kebenaran sah.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Unit Risik Marin menyerbu sebuah premis perniagaan di Skudai pada pukul 10 malam hari yang sama selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti penjualan dan penyimpanan bahan letupan tanpa permit.
Jelasnya, serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan pemeriksaan lanjut menemukan 86 kotak mercun serta bunga api yang disimpan di dalam premis berkenaan tanpa sebarang lesen sah.
“Tidak sampai tiga jam kemudian, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah premis kediaman di kawasan Danga Bay yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh menemukan 77 kotak mercun dan bunga api. Suspek gagal mengemukakan permit penyimpanan bahan letupan yang sah dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut,”ujarnya.
Noor Azman berkata, jumlah keseluruhan rampasan mercun dan bunga api bagi kedua-dua kes berkenaan dianggarkan bernilai RM442,300 dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-KOSMO! ONLINE

10 hours ago
5




![[VIDEO] Jumpa balik gelang emas 33 gram lepas 13 jam tercicir](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/GELANG-EMAS-TERCICIR.jpeg)

![[VIDEO] Wanita didakwa hantar ibu minta sedekah di bazar Ramadan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/IMG-20260224-WA0072.jpg)












![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)





























