Mentaliti badang perlu menang pingat

12 hours ago 4

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak mahu lagi barisan atlet negara sekadar meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan setiap kali menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menggesa semua ‘badang’ negara mula memenangi pingat kerana menganggap rekod kebangsaan tidak bermakna sekiranya mereka gagal menjejakkan kaki ke podium.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan dua atlet negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Hafizuddin Roslin memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing pada Kejohanan Angkat Berat Asia di Jiangshan, China hujung minggu lalu.

“Saya selalu sebutkan kepada semua atlet setiap kali mereka menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa. Kita nak mereka memenangi pingat, bukannya mahu memecahkan rekod kebangsaan.

“Kalau pecah rekod kebangsaan sehingga 10 atau 20 kali sekali pun, tetapi jika posisinya nombor 10, ia tidak memberi makna kepada negara,” katanya.

Terdahulu, Aniq yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara snatch menerusi angkatan 132kg, memadam rekod lamanya 130kg yang dilakukan pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Hafizuddin (kategori 81kg) pula dua kali memecahkan rekod kebangsaan miliknya, juga menerusi acara snatch apabila melakukan angkatan 153kg dan 155kg, sekali gus memperbaharui catatan lama 152kg.

Meskipun mereka memecahkan rekod kebangsaan, namun gagal untuk menjejakkan kaki ke podium apabila Aniq tiada dalam carta keseluruhan, manakala Hafizuddin di tempat keenam.

“Jika dilihat pada keseluruhan, kita kurang senang dengan keputusan tetapi berdasarkan analisis, ini adalah kejohanan pertama mereka selepas Bahrain (pada Disember 2024). Jadi, sudah terlalu lama tidak pergi kejohanan.

“Mungkin pendedahan awal ini mereka tidak bersedia. Mereka cakap okey dan sebagainya, jadi kita hantar tetapi keputusan tidak begitu baik walaupun ada keyakinan tinggi,” ujar Ayub.

Read Entire Article
Pertanian | | | |