Mayat pemuda OKU gangguan mental ditemui kembung, reput

6 hours ago 3

JERANTUT – Mayat pemuda orang kurang upaya (OKU) masalah mental, Sabri Ismail, 36,  ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam jarak 300 meter dengan rumahnya di Taman Sri Embun di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa ditemui pada pukul 10.20 pagi hari ini dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan fizikal badannya kembung serta mula mereput.

“Mayat mangsa telah dihantar ke forensik Hospital Jerantut untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa disedari hilang pada 2 Jun lalu selepas kakaknya yang berada di Kuala Lumpur menerima panggilan daripada jiran memberitahu mangsa dalam keadaan tidak sihat dan mengganggu orang awam di kawasan taman perumahan di situ.

Katanya pada 7 Jun lalu kakaknya telah kembali ke rumah dari Kuala Lumpur untuk melihat keadaan mangsa, tetapi mendapati tiada di rumah, manakala beg pinggang dan motosikalnya ditinggalkan di rumah berkenaan.

“Kakaknya telah mencari di kawasan sekitar taman tersebut, tetapi tidak berjumpa kemudiannya datang ke balai polis untuk membuat  laporan,” katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Datuk Azli Ismail berkata, dia pada awalnya sudah mengetahui adiknya yang merupakan anak kesembilan daripada 11 beradik keluar dari rumah tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Adik saya mempunyai masalah gangguan mental sejak kecil dan kerap makan ubat. Kadang-kadang dia normal dan ada ketikanya mengalami gangguan mental cuma tinggal di rumah milik arwah bapa bersendirian dan kadang kala berteman dengan seorang rakan lelaki.

“Dia menggunakan wang yang diberikan oleh kami di samping memperoleh bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk berbelanja makanan dan keperluan lain sepanjang tinggal di Taman Sri Embun selepas kematian kedua ibu bapa beberapa tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |