PETALING JAYA – Master Tec Group Berhad (Master Tec), pemain utama dalam pembuatan dan pengedaran kabel kuasa, kawalan dan instrumentasi, mengakhiri suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2025 (S4 TK2025) dengan satu lagi prestasi kukuh.
Hasil bagi suku tersebut adalah sebanyak RM124.52 juta, naik sebanyak 29.1 peratus berbanding RM96.42 juta suku keempat tahun 2024 dipacu oleh kekuatan berterusan dalam operasi pembuatan terasnya.
Pengarah Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat mendadak sebanyak 124.6 peratus kepada RM15.33 juta berbanding RM6.83 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024.
Menurutnya, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM8.29 juta daripada RM7.45 juta sebelumnya, mencerminkan peningkatan operasi daripada pangkalan pembuatan yang diperluas.
“Tahun 2025 menandakan tahun transformasi untuk syarikat yanga mana pendapatan dan pertumbuhan PBT kukuh mencerminkan kebolehskalaan platform pembuatan dan peningkatan penerimaan pasaran terhadap kabel voltan rendah (LV) teras aluminium kami.
“Ketika kami maju dalam pengeluaran kabel voltan sederhana dan meningkatkan keupayaan kejuruteraan kami melalui MTE dan Sediacom, kami meletakkan Kumpulan untuk menguasai projek peralihan infrastruktur dan tenaga bernilai lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, segmen pembuatan kekal sebagai tulang belakang Kumpulan, menyumbang RM117.88 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 yang mana ia menandakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh sebanyak 49.8 peratus daripada RM78.71 juta sebelumnya.
Kabel kuasa LV teras aluminium mencatatkan peningkatan ketara kepada RM59.59 juta (suku keempat tahun kewangan 2024: RM20.81 juta), manakala kabel kuasa LV teras tembaga meningkat kepada RM56.44 juta (S4 2024: RM54.16 juta), mencerminkan aliran pesanan yang kukuh daripada projek utiliti, infrastruktur dan perindustrian. Kabel kawalan dan instrumentasi menyumbang RM1.86 juta sepanjang suku tersebut.
Segmen perdagangan mencatatkan hasil sebanyak RM1.69 juta berbanding RM12.85 juta sebelumnya, mencerminkan aktiviti perdagangan yang lebih rendah, manakala segmen hasil kontrak, yang disumbangkan oleh Sediacom Sdn. Bhd., mencatatkan hasil sebanyak RM4.94 juta, menyokong kepelbagaian Kumpulan dalam perkhidmatan infrastruktur dan utiliti.
Melihat ke hadapan, Master Tec kekal pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada perbelanjaan infrastruktur yang mampan, pembangunan perindustrian dan inisiatif elektrifikasi di bawah rangka kerja pembangunan negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Pelaburan berterusan Kumpulan dalam pensijilan kabel voltan sederhana, jentera baharu, pemerolehan tanah untuk pengembangan dan sistem fotovoltaik solar atas bumbung mengukuhkan lagi daya saing jangka panjang dan komitmennya terhadap pertumbuhan yang mampan. -KOSMO! ONLINE

11 hours ago
10















![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

































