LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pembinaan masjid di seluruh negeri Pahang tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan secara berterusan.
Titah baginda, masyarakat setempat perlu memanfaatkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah serta tempat menimba ilmu agama seperti pengajian al-Quran, kelas fardu ain dan pelbagai program kerohanian.
“Apabila terbinanya masjid baharu, saya berharap ia dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan bukan sekadar menjadi bangunan yang indah tetapi kurang pengisian,” titah baginda ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Kuala Medang yang dinamakan Masjid Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah di Kampung Kuala Medang di sini, semalam.
Turut bercemar duli Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Muhammad Iskandar yang turut berkenan menandatangani papan tanda perasmian masjid berkenaan.
Sementara itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang atas pelbagai inisiatif dalam memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini termasuk pengurangan bayaran persekolahan dan asrama di sekolah agama, pemberian bantuan kewangan sebanyak RM150 sebulan kepada murid berkeperluan khas serta perlindungan takaful selama 24 jam kepada pelajar sekolah agama negeri termasuk penambahan elaun RM100 untuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan guru al-Quran asrama.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut dimaklumkan mengenai penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang cawangan Lipis yang merupakan institusi ketiga di bawah Yayasan Pahang dan menzahirkan hasrat untuk merasmikan pusat tahfiz tersebut.
Dalam pada itu, baginda turut menyentuh perkembangan pembangunan daerah Kuala Lipis yang dijangka lebih pesat dengan pelaksanaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bakal memendekkan perjalanan ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
8

















































