KUALA LUMPUR – Isu kontrak membabitkan Pearly Tan-M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama sekali tidak menggugat fokus ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak terutama persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Rosman, yang kembali menggalas tanggungjawab membimbing beregu wanita menegaskan beliau tidak terganggu dengan sebarang spekulasi luar dan kekal komited merangka hala tuju jangka panjang pasukannya demi merealisasikan impian di bumi Amerika Syarikat (AS) kelak.
Pearly-Thinaah mempamerkan peningkatan prestasi yang cukup memberangsangkan apabila merangkul kejuaraan Terbuka Thailand selain mara ke separuh akhir Masters Malaysia, suku akhir Terbuka Singapura dan muncul naib juara Terbuka Indonesia.
Namun, pasangan yang kini menghuni ranking ketiga dunia itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM sejak tamat pada Disember tahun lalu, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai masa depan mereka.
“Sasaran utama kita masih kekal LA28 dan itulah sebabnya BAM bawa saya kembali. Saya amat komited terhadap matlamat besar itu.
“Menjadi pemain utama bukan mudah. Banyak faktor boleh menjejaskan prestasi. Tugas saya sebagai jurulatih adalah membantu mereka menguruskan segala aspek latihan, kehidupan peribadi, dan tekanan dihadapi,” kata Rosman ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.
Dalam pada itu, Rosman turut menepis tanggapan tekanan di kejohanan bertaraf lebih rendah seperti Super 500 adalah kurang berbanding siri Super 750 atau 1000.
Menurutnya, semua kejohanan tersebut tetap menghimpunkan barisan pemain elit dunia dan menjadikan setiap perlawanan adalah sukar dan penuh tekanan.
“Semua kejohanan ini disertai pemain-pemain elit, jadi, kita tidak boleh kata kejohanan Super 500 itu lebih mudah berbanding Super 750 atau 1000,” jelasnya,
Pearly-Thinaah selepas ini akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Terbuka Jepun yang akan berlangsung 15 hingga 20 Julai depan. – KOSMO! ONLINE