MANCHESTER – Manchester City terus ‘bernafsu’ membeli pemain baharu apabila kini dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan penjaga gol ketiga Chelsea, Marcus Bettinelli.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano mendedahkan, Bettinelli, 33, akan menyertai skuad utama City ke Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat bermula 16 Jun sebagai pengganti kepada Scott Carson.
Carson, 39, dianggap sebagai legenda City biarpun hanya bermain dua perlawanan tetapi kehadirannya di bilik persalinan membantu barisan pemainlain dan terbukti menerusi 11 trofi dimenanginya bersama kelab itu.
Ini bermakna Bettinelli bakal menjadi pembelian keempat City dalam bulan ini selepas pertahanan kiri Wolves, Rayan Ait-Nouri, 24, melengkapkan perpindahan ke Stadium Etihad dengan harga £31 juta (RM177.60 juta).
“City antara kelab terbesar di dunia dan peluang beraksi untuk pasukan ini seperti mimpi menjadi kenyataan.
“Saya tidak sabar untuk menimba ilmu daripada Pep (Guardiola) dan barisan kejurulatihannya. Saya berharap dapat memberi sumbangan kepada pemain-pemain berkelas dunia yang lain,” kata Ait-Nouri selepas mengikat kontrak lima tahun dengan City.
Skuad bimbingan Guardiola itu dikatakan hanya menanti masa untuk mengumumkan kehadiran dua lagi pemain yang didakwa sudah selesai menjalani ujian perubatan iaitu Tijjani Reijnders (AC Milan) dan Rayan Cherki (Lyon).
Senario itu seakan City sedang melepaskan geram gagal menang trofi musim lalu meskipun berbelanja £172 juta (RM985.38 juta) pada Januari lalu membeli empat pemain, Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov, Vitor Reis dan Nico Gonzalez.
City akan membuka kempen Kumpulan G Piala Dunia Kelab 2025 menentang jaguh Maghribi, Wydad AC pada 19 Jun diikuti juara Emiriyah Arab Bersatu, Al Ain (24 Jun) dan gergasi Itali, Juventus (27 Jun). – AGENSI